Iman Goyah Kerana Salib?

Iman Goyah Kerana Salib?

- in Artikel

Isu hangat yang sedang diperkatakan kini menjadi tumpuan masyarakat kita di Malaysia, khususnya di Semenanjung Malaysia. Keadaan ini amat berlainan dengan situasi di Sabah dan Sarawak. Apa yang dapat kita lihat, situasi di sana sangat harmoni tanpa sebarang isu mengenai agama yang dianuti oleh mereka.

Masyarakat Islam dan masyarakat Kristian di sana amat menghormati agama anutan masing-masing. Mereka tidak langsung bertikam lidah mengenai tanda salib mahupun bulan dan bintang yang terdapat di setiap rumah ibadat bagi masyarakat Islam mahupun Kristian, bahkan mereka saling bertolak ansur dengan memberikan ruang tempat letak kereta kepada mereka yang mahu menunaikan kewajipan mereka untuk beribadat, tidak kira penganut kristian atau mereka yang beragama Islam kerana kedudukan rumah ibadat mereka hanya bersebelahan.

Apabila dilihat kepada keadaan ini, terdetik di benak fikiran, mengapa isu ini ditimbulkan sekarang. Masyarakat Melayu yang majoritinya beragama Islam, dikatakan sensitif  dengan tanda salib yang diletakkan di hadapan gereja. Kononnya, keadaan ini tidak sepatutnya berlaku disebabkan perkampungan itu, majoritinya diduduki oleh masyarakat Melayu yang beragama Islam dan hanya minoriti sahaja penganut Kristian yang menghuni di kampung tersebut. Pelik, bukankah sepatutnya masyarakat Islam seharusnya berlembut dan menghormati agama lain, seperti yang diajar oleh Nabi kita Nabi Muhammad S.A.W. yang menghormati penganut agama lain, walaupun dicerca dengan pelbagai tohmahan ketika baginda berdakwah menyebarkan Islam itu sendiri.

Mengapa masyarakat kita masih tidak boleh menerima kebebasan beragama yang telah ditetapkan dalam undang-undang Malaysia  Artikel 3 dan 11 dalam Perlembagaan Persekutuan yang merujuk kepada kebebasan beragama. Undang-undang yang telah dicatatkan ini amat berguna bagi mengelakkan perbalahan agama berlaku, lebih-lebih lagi di Malaysia yang mana, secara majoritinya di semua negeri wujudnya kepelbagaian kaum dan agama sebelum merdeka lagi.

Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana secara automatiknya, ia akan menyebabkan agama Islam dilihat sebagai agama yang tidak membawa kepada keamanan. Sedangkan Islam itu sendiri merupakan agama yang membawa kepada keamanan, dan cara kehidupan yang harmoni tanpa menghina agama yang lain. Jika kejadian ini tidak diselesaikan secara berhikmah, pastinya kebencian kepada agama lain akan wujud tanpa kita sedar, khususnya kepada mereka yang masih muda, kanak-kanak dan remaja Islam yang menjadikan orang yang lebih yang tua sebagai panduan dan pedoman dalam meniti kehidupan mereka pada hari ini.

Sogokan cerita yang tidak berasas seperti melihat salib akan menghilangkan ilmu,hafazan atau gelap hati sebenarnya tidak berasas sama sekali kerana ilmu, jika dibaca berulang-ulang dan menjaganya dengan betul, pasti ia tidak akan hilang dari diri kita. Sesetengah masyarakat ada yang menyatakan apabila melihat salib ia akan menggoyahkan iman seorang Muslim itu sendiri, benarkah hal itu? Tepuk dada, tanya iman anda. Adakah iman seseorang itu akan goyah hanya dengan melihat salib tersebut, adakah dengan melihat salib itu akan menyebabkan hati tidak tenang, takut atau selainnya? Jika masyarakat kita menjaga dan berusaha meningkatkan imannya, pasti situasi ini tidak akan timbul sama sekali.

Kita lihat contoh di negara Arab yang sangat banyak gerejanya di setiap sudut negara itu. Masjid dan gereja hanya bersebelahan sahaja, kesannya tiada pula kita lihat masyarakat Islam di sana goyah imannya dan murtad keluar dari Islam. Mereka bahkan lagi kuat imannya kerana mereka tahu jika iman dijaga dan diperbaiki dengan ibadat yang ikhlas kepada Tuhan, iman mereka tidak akan sesekali goyah. Jika hanya melihat salib itu sendiri sebenarnya tidak memberi apa-apa kesan pun kepada mereka.

Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *