Komunikasi Dua Hala: Pengukuh Organisasi

Komunikasi Dua Hala: Pengukuh Organisasi

- in Artikel HR Isu Sumber Manusia

Kita sedia maklum, segala keputusan perlu melalui majikan malah turut ditentukan olehnya. Ada masanya, pekerja hanya mampu mengiyakan tanpa mampu mengatakan tidak. Hal ini, boleh memberikan kesan kepada kedua-dua pihak.

Oleh itu, terdapat beberapa tip yang boleh digunakan oleh majikan dan pekerja bagi menangani hal ini. Apabila bekerja dalam satu syarikat, sikap bekerjasama dalam membentuk organisasi yang baik, haruslah dimiliki. Barulah wujud sikap adil dan toleransi antara kedua-dua pihak iaitu majikan dan pekerja.

 

Antara tip yang boleh diamalkan adalah seperti yang berikut:

Saling Menghormati

Pekerja ialah mereka yang merealisasikan objektif yang cuba disampaikan oleh majikan. Sekiranya majikan mahukan kejayaan, pekerja harus menjayakannya. Oleh itu, majikan dan pekerja sebenarnya saling memerlukan antara satu sama lain.

Berdasarkan Indeks Persekitaran Kerja, suasana kerja yang selesa (Kotak 3) dan cara perhubungan majikan dan pekerja yang lebih baik, mampu menyumbang kepada pengurangan bilangan pekerja yang suka mempertikai kerja, di samping dapat ditingkatkan menerusi kerjasama dan perundingan antara Kerajaan, majikan, pekerja dan kesatuan pekerja.

Saling bertukar pandangan dan majikan harus menganalisa pandangan itu terlebih dahulu, sebelum menerima atau menolak pandangan tersebut dengan alasan yang kukuh. Pekerja akan lebih menghormati sekiranya pendekatan sebegini digunakan.

Sabda Rasulullah SAW: Orang yang bekerja untukmu adalah saudaramu. Allah telah mentakdirkan mereka bekerja di bawahmu.(Riwayat Imam Bukhari dan al-Tirmizi).

Rapatkan Jurang Hubungan

Kebaikan yang ditunjukkan dan manfaat diperolehi oleh pekerja sehingga menimbulkan perasaan hormat yang tinggi pekerja  terhadap majikan, membuktikan bahawa tiada jurang hubungan antara kedua-duanya dan persekitaran yang selesa mewujudkan persekitaran yang lebih positif.

Dalam Surah Saff: Ayat 4 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah suka orang yang berperang di jalan-Nya (untuk membela agamanya) dalam barisan yang teratur bagaikan sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”

Jangan Terlalu Yakin dan Bangga

Setelah kepercayaan diberikan kepada anda, jangan mudah melabelkan diri sudah berada di zon selesa sebab ada masanya, kita juga mampu berada di bawah semula. Majikan boleh memuji pekerja sebagai tanda menghargai kejayaannya tetapi jangan berlebihan dan para pekerja tidak harus menjadikan kejayaan kali pertama, sebagai platform untuk mengampu atau membodek majikan pada masa akan datang. Keadaan ini akan menimbulkan suasana yang kurang bagus terutama dalam perkembangan sesebuah organisasi.

Kontrak Keadilan Kepada Pekerja

Majikan harus menyediakan kontrak yang adil kepada pekerja supaya kebajikan mereka lebih terjamin dan terpelihara. Belajar mengambil berat bukan hanya kepada sesetengah orang tetapi terhadap semua pekerja yang bekerja dibawahnya. Berlaku adil terutamanya dalam hal bayaran gaji, kesihatan dan keselamatan.

Firman Allah bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Baginya mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286).

Oleh itu, elakkan sikap pilih kasih antara pekerja. Persekitaran yang selesa adalah suasana yang saling memberi dan menerima secara baik antara kedua-dua pihak, bukannya berdasarkan pangkat siapa yang tinggi dan abaikan golongan bawahan yang bekerja untuk organisasi.

 

Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *