“Malim Gunung Wira Kita”

“Malim Gunung Wira Kita”

- in Artikel, Isu, Pilihan Editor

‘Malim Gunung’ merupakan isu hangat yang sedang diperkatakan oleh masyarakat Malaysia keseluruhannya ketika berlaku kejadian gempa bumi di Sabah. Kejadian gempa yang berukuran 6 skala Richter yang berpusat di Ranau pada Jumaat lalu telah mengorbankan seramai 18 orang yang mana mangsa terakhir ditemui dalam keadaan yang menyayat hati.

Tragedi yang mengejutkan rakyat Malaysia ini mendapat perhatian para pengamal media sosial apabila isu ini menjadi tajuk utama mereka. Disebalik kepayahan operasi mencari dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab, masyarakat kita terlepas pandang dengan jasa jurupandu gunung atau lebih dikenali sebagai ‘Malim Gunung’.

Malim Gunung bergadai nyawa membantu para pendaki Gunung Kinabalu berpindah ke kawasan yang selamat sebelum bantuan tiba. Malim Gunung menggunakan sumber di sekeliling bagi membantu para pendaki menuruni kawasan Laban Rata yang lebih selamat.

Antara nama-nama yang berjasa dan menjadi sebutan antaranya ialah Robbi Sapinggi, Joseph Selungin yang turut terkorban dalam kejadian gempa, selain itu jurupandu gunung seperti Jomius, Richard Soibi, Firdaus Abdul Salam, Freddie dan Ridwan yang berusaha membantu mangsa dengan mengusungnya ke tempat yang selamat.

Nama mereka tidak didendangkan di muka-muka akhbar tempatan, namun di media sosial ia menjadi viral kerana ketabahan dan keberanian yang dimiliki oleh para jurupandu Gunung Kinabalu ini. Jika dilihat kepada klip video amatur penduduk di kaki Gunung Kinabalu, gegarannya amat kuat yang meruntuhkan batuan dari puncak Gunung Kinabalu sehingga ada sebahagian pendaki yang maut dihempap batuan yang menimpa mereka.

Berita yang amat menyedihkan apabila dua mangsa yang terkorban ketika mendaki merupakan malim gunung yang telah diberitahu tadi iaitu Robbi Sapinggi dan Joseph Selungin.  Robbi meninggal dunia akibat terkena runtuhan batu. Sebelum  menghembuskan nafas terakhir Robbi memastikan kesemua pendaki yang dibawanya berada dalam keadaan selamat.

Manakala Joseph Selungin pula ditemui di bawah runtuhan batu dalam keadaan memeluk tetamu pelancongnya kerana menghalang batu tersebut dari menimpa pelanconganya, namun mereka semua turut terkorban dalam kejadian tersebut.

Kemuliaan dan sifat bertanggungjawab ‘Malim Gunung’ ini menjadi ingatan masyarakat Malaysia dan dunia yang sanggup menggadaikan nyawa mereka demi keselamatan orang lain. Mereka ini merupakan wira kita, wira sejati yang berkorban tanpa mengira keselamatan diri mereka sendiri. Terima Kasih ‘Malim Gunung’, anda wira kami!.

Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *